Pasti tidak ramai tahu Irfan Khairi yang mencapai status jutawan internet pada usia 25 tahun pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci di pasar raya United Kingdom dengan kadar upah paling rendah.
Dengan gaji sebanyak £3.50 sejam, iaitu kira-kira RM14 mengikut tukaran wang sekitar 1997 hingga 1998, Irfan Khairi yang kini berusia 29 tahun melakukan kerja mencuci lantai dan tandas pasar raya dari jam 6 hingga 8 pagi bagi mencari wang sampingan.
Dia sanggup menempuhi kepayahan itu semata-mata untuk memastikan dia mampu membeli buku motivasi dan kisah orang yang berjaya serta menghadiri seminar kejayaan.
Sejam selepas bekerja, Irfan bergegas mengikuti kuliah dalam bidang multimedia di Universiti Staffordshire.
Begitulah rutin harian Irfan sepanjang dua tahun pengajiannya di rantau orang.
“Masa itu, kalau hendak dikira, gaji yang diterima memang tidak cukup untuk menjalani kehidupan di bandar besar.Namun disebabkan mahu menghadiri seminar dan beli buku motivasi, saya sanggup bekerja sebagai tukang cuci,” katanya.
Selepas menerima ijazah, Irfan tidak lagi meneruskan kerja sambilan itu, Kali ini bukan dia mencari kerja, tetapi kerja pula mencarinya.Dia berkerja sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat, Netmedia Education, di Birmingham, dengan gaji £1,400.
